Thursday, June 10, 2010

Siri 412- Kata: Pelibatan atau penglibatan

Soalan:
Saya masih tertanya-tanya tentang penggunaan perkataan `penglibatan’ dalam ayat yang di bawah ini sama ada betul atau salah. Harap cikgu dapat memberikan penjelasan.
1. Amat rugi jika kepercayaan yang dilemparkan oleh pihak kerajaan kepada persatuan belia tidak disambut dengan kesungguhan dan tanggungjawab melalui penglibatan belia terutama pelajar IPT dalam persatuan belia.

Daripada:
Shahrir,
Taman Melor, Ampang

Jawaban:
Perkataan `penglibatan’ sebenarnya tidak menepati morfologi dalam bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana perkataan yang betul dan tepat ialah `pelibatan’. Jika kita meneliti pembentukan perkataan `pelibatan’ dan perkataan yang seumpamanya, kita akan mendapati bahawa perkataan `penglibatan’ menyalahi rumus pembentukan perkataan dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu, perkataan yang berapitan pe-..-an, sebenarnya berasal daripada perkataan berawalan me-, perkataan yang berapitan per-..—an berasal daripada perkataan yang berawalan ber-. Lihatlah beberapa contoh pembentukan perkataan tersebut seperti yang di bawah ini:

Lantik ----> melantik -----> pelantikan [Betul]
Lantik ----> berlantik-----> perlantikan [Salah]

Dalam bahasa Melayu, tiada perkataan berlantik. Oleh itu, perkataan `perlantikan’ tidak menepati rumus pembentukan perkataan dalam bahasa Melayu. Contoh lain:

Baca---> membaca-----> pembacaan. [Betul]
Baca---> berbaca ------> perbacaan. [Salah]

Dalam bahasa Melayu, tiada perkataan berbaca. Oleh itu, perkataan `perbacaan’ tidak menepati rumus pembentukan perkataan dalam bahasa Melayu. Contoh lain:

Langgar --> melanggar ---> pelanggaran [Betul]
Langgar --> berlanggar ---> perlanggaran [Betul]

Perkataaan `perlanggaran’ dan `pelanggaran’ sememangnya wujud dalam bahasa Melayu. Kedua-dua perkataan ini berasal daripada perkataan `berlanggar’ dan `melanggar’.

Dengan berdasarakan beberapa pembentukan perkataan yang di atas tadi, marilah kita lihat pembentukan perkataan `pelibatan’ dan `penglibatan’ seperti yang di bawah ini.

Libat ---> melibatkan --> pelibatan [Betul)
Libat ---> menglibatkan ---> penglibatan (Salah tetapi diterima pakai]

Kesimpulannya, perkataan `pelibatan’ betul dan tepat kerana perkataan itu berasal daripada perkataan `melibatkan’. Perkataan `penglibatan’ pula tidak tepat kerana perkataan `menglibatkan’ tidak wujud dalam bahasa Melayu. Oleh sebab pengguna bahasa Melayu telah menggunakan perkataan tersebut secara leluasa, penggunaan perkataan `penglibatan’ diterima sebagai betul dan dianggap kekecualian. Oleh hal yang demikian, sesiapa yang telah mengetahui proses ini, harap gunakanlah perkataan `pelibatan’ dalam penulisan. Usaha ini dianggap sebagai usaha untuk memantapkan bahasa Melayu. Namun demikian, jika ada pengguna bahasa yang masih menggunakan perkataan `penglibatan’, janganlah kita menyalahkan mereka. Kita berharap agar pada suatu hari semua pengguna bahasa akan menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tepat.

4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kenapa dalam kamus tak wujud perkataan penglibatan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mungkin perkataan tersebut biasa dipakaikan.

      Delete