Thursday, March 24, 2011

Siri 585- Perkataan: Melawat –KKT atau KKTT

Cikgu,
Ada pendapat mengatakan bahawa kata 'melawat' ialah kata kerja transitif seperti frasa `melawat neneknya di hospital’. Pendapat lain pula menyatakannya sebagai kata kerja tak transitif kerana perkataan itu dapat diikuti oleh kata sendi nama ke seperti dalam frasa kerja `melawat ke Putrajaya’. Apakah pendapat Cikgu tentang hal ini?

Drp:
Rohayu

Jawaban:
Kata kerja transitif biasanya dapat dipasifkan. Sebagai contohnya, perkataan `melawati’ apabila dipasifkan menjadi dilawati. Dalam hal ini, perkataan `melawat’ seperti ayat (1) di bawah ialah kata kerja tak transitif.

(1) Mereka akan melawat ke Kedah.
Ayat tersebut tidak boleh ditulis seperti yang berikut:

(1a) Mereka akan melawat Kedah.

Jika ayat tersebut diungkapkan seperti ayat 1(a) di atas, kata kerja `melawat’ ialah kata kerja transitif. Persoalannya ialah adakah ayat tersebut dapat dipasifkan?. Jika dipasifkan, ayat tersebut akan menjadi:

2. Kedah akan dilawat oleh mereka.

Adakah perkataan `dilawat’ wujud dalam bahasa Melayu?

Oleh hal yang demikian, ayat (1) juga dapat diungkap dalam bentuk transitif seperti yang berikut:

1(b) Mereka akan melawati Kedah. (Aktif)
2(a) Kedah akan dilawati oleh mereka. (pasif)

Perkataan `melawat’ juga bermaksud menziarahi. Oleh itu, perkataan `melawat’ dalam ayat yang berikut gramatis.

3. Kami akan melawat nenek di hospital pada petang nanti.

Ayat 3 boleh juga diungkapkan seperti yang di bawah ini.

4. Kami akan menziarahi nenek pada petang nanti.

Dalam ayat (3), perkataan `melawat’ sebenarnya berasal daripada perkataan `melawati’. Hal ini dikatakan demikian kerana ayat tersebut tidak boleh ditulis sebagaimana yang berikut:

3(a) Kami akan melawat ke nenek di hospital pada petang nanti.

Sebagai kesimpulannya, perkataan `melawat’ yang bermaksud pergi ke dikategorikan sebagai kata kerja tak transitif. Hal ini bermakna perkataan ini tidak dapat dipasifkan. Perkataan `melawat’ yang bermaksud menziarahi sebenarnya berasal daripada perkataan `melawati’. Dalam hal ini, perkataan `melawat’ tersebut dikategorikan sebagai kata kerja transitif. Satu perkara yang perlu diingat ialah perkataan `melawat’ yang bermaksud `menziarahi’ akan menjadi `dilawati’ apabila dipasifkan.

No comments:

Post a Comment