Saturday, May 15, 2010

Selamat Hari Guru --Jadilah Guru yang Sejati

GURINDAM GURU SEJATI
(Mas Adeki)

Guru sejati muhasabah diri,
Bijak bertindak dan berdikari.

Guru sejati senyum mesra,
Sentiasa menggunakan budi bicara.

Senyuman dipapar menawan hati,
Tutur katanya penuh bererti.

Guru sejati tekun bekerja,
Ada wawasan semangat waja.

Guru sejati guru berkualiti,
Gigih mengajar sepenuh hati.

Guru sejati berhati murni,
Sihat sejahtera hidup harmoni.

Tidak mudah berkata tidak,
Sentiasa berusaha terus bertindak.

Jika menghadapi sebarang masalah,
Guru sejati tak pernah mengalah.

Rela berkorban apa sahaja,
Kurang cakap banyak bekerja.

Guru sejati baik hati,
Berasa belas menaruh simpati.

Guru sejati bijak berbicara,
Hidup berbakti jadilah juara.

Guru sejati umpama lebah,
Menebar ilmu sabar tabah.

Guru sejati bergelar pendidik,
Pelajar diasuh bijak cerdik.

Membina, membentuk insan berakhlak
Gigih membimbing tak pernah jelak.

Semoga berjaya di dunia dan di akhirat,
Kedua-duanya penting diambil berat.

Guru sejati insan bijaksana,
Tugasan diberi beres sempurna.

Tegur nasihat untuk kebaikan,
Mengasuh, mendidik demi kebajikan.

Marahnya sayang bencinya kasih,
Mulutnya manis hatinya bersih.

Guru sejati utamakan kecemerlangan,
Pelajar bergaya ke arah kegemilangan.

Guru sejati sentiasa proaktif,
Tenang tenteram berfikiran positif.

Guru sejati memanusiakan manusia,
Demi keamanan bukan sia-sia.

Guru sejati guru bestari,
Hidup bermotivasi jati diri.

Guru sejati berbudi bahasa,
Berkhidmat demi nusa dan bangsa.
(Sumber: http://www.smkputra.blogspot.com/)

No comments:

Post a Comment